Oleh : MOHD AMINUDDIN ALING MASYARAKAT seluruh Tawau tergempar dengan berita penangkapan 10 pendakwah dan aktivis Islam di Tawau pada hari Isnin 14 November 2011. PAS Sabah mohon supaya pihak polis mengeluarkan kenyataan bagi menjelaskan kedudukan sebenar supaya berita ini tidak disalah tafsir dan akan menimbulkan pelbagai sangkaan buruk terhadap setiap orang yang ditangkap. Tangkapan pendakwah dan aktivis Islam dengan perbagai profesion tersebut dilakukan oleh pegawai-pegawai polis dari Jabatan Pasukan Petugas Khas (Operasi Counter Terorism) Bukit Aman diketuai oleh DSP Azman bin Omar. Keluarga/Waris orang yang ditangkap dimaklumkan sehari kemudian yang mereka ditangkap di bawah Seksyen 73 (1) AKDN 1960 (ISA). Penangkapan tanpa waran, tanpa notis atau dimaklumkan dilakukan di hadapanisteri dan anak-anak terlalu tragis. Situasi ini dilakukan oleh pihak polis yang lengkap bersenjata dengan cara yang kasar bagai satu rompakan dan dirampas beberapa komputer riba (laptop) dan sejumlah wang tunai. Baru sahaja Perdana Menteri menghebahkan dengan gahnya bahawa ISA akan dimansuhkan kini kelegaan rakyat dikejutkan dengan tangkapan ISA. Di manakah kesungguhan Perdana Menteri,? Jujurkah beliau semasa membuat kenyataan pamansuhan ISA? Kini AKTA ISA yang ’draconian’ (mengerikan) itu menjelma kembali. NOTIS....Notis tangkapan ini diserahkan kepada keluarga mangsa. Antara yang ditangkap adalah pendakwah yang disegani di seluruh Tawau. Apakah tangkapan ini menunjukkan sikap ’bengis’ kerajaan (UMNO-BN) terhadap kerja-kerja Islam? Masyarakat yang sakit moral kini sangat perlukan pendakwah kenapa mereka ditangkap. Anehnya pembawa punca keruntuhan akhlak dan moral dibiar berleluasa. tanpa tindakan yang proaktif. PAS Sabah sangat dukacita dan kesal terhadap tindakan kejam dan tidak berperikemanusiaan yang akan menyebabkan porak-poranda kepada seluruh keluarga orang-orang yang ditahan dan sekali gus memberi kesan atau impak yang negatif terhadap masa hadapan anak-anak mereka. PAS Sabah menuntut, supaya semua tahanan tersebut dibebaskan serta merta tanpa syarat. (NOTA : Mohd. Aminuddin Aling ialah Pesuruhjaya PAS Sabah)
|
No comments:
Post a Comment