Saturday, 10 November 2012

DUA MILITAN INDONESIA DITAHANPDFPrintE-mail

Written by Admin   
Sunday, 11 November 2012 12:15






















POLIS DIRAJA Malaysia (PDRM) dengan kerjasama Polis Republik Indonesia (Polri) menahan dua suspek warga Indonesia baru-baru ini, yang dipercayai terbabit dalam serangan bom di Hotel JW Marriott dan Ritz-Carlton di Jakarta, Indonesia pada 2009.

Dua suspek itu, Taufik Balaga atau dikenali dengan nama Upik Lawanga (kanan) dan Ahmad Fauzi masing-masing berusia 40-an, yang menjadi anggota militan Jemaah Islamiyah (JI), ditahan semasa cuba merentas sempadan Malaysia-Kalimantan di Nunukan, Kalimantan Timur.
Menurut sumber polis Bukit Aman, kejayaan itu adalah hasil perkongsian maklumat risikan antara PDRM dan Polri.

Mereka disyaki sering berulang-alik dari Tawau ke Nunukan (Kalimantan Timur) sebelum ini, kata sumber berkenaan kepada Bernama, kelmarin.

Menurut sumber itu, kedua-dua suspek itu dihantar ke Jakarta pada hari yang sama selepas proses soal siasat.

Kedua-duanya dipercayai terlibat dalam kejadian dua serangan pengebom berani mati pada 17 Julai 2009 di kedua-dua hotel berkenaan yang mengorbankan sembilan orang dan mencederakan 53 yang lain.

Serangan itu turut dikaitkan dengan kumpulan JI yang mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas Al-Qaeda.

Upik sebelum ini turut dikaitkan dengan insiden memenggal kepala tiga pelajar di Poso, Sulawesi Tengah pada 2005.

Menurut sumber itu, Upik dipercayai terbabit dengan kumpulan JI dan mempunyai kepakaran menghasilkan bom buatan sendiri.

Upik dan Ahmad Fauzi kini sedang disiasat oleh polis Indonesia, dan dipercayai mempunyai seorang lagi rakan warga Malaysia yang sedang disiasat, kata sumber polis itu. (Bernama)

blog comments powered by DISQUS

No comments: