KOTA KINABALU : Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman pada Rabu mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) setelah mendapat persetujuan Yang di-Pertua Negeri.
Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan pembubaran Dewan Rakyat ke-12 bagi memberi laluan kepada pilihan raya umum ke-13 diadakan.
Pengumuman khas itu dilakukan di pejabatnya di Kompleks Perdana Putra, Putrajaya dan disiarkan secara langsung di semua saluran televisyen dan radio utama pada pukul 11.30 pagi ini.
Najib mengumumkan pembubaran Dewan Rakyat pada hari genap empat tahun beliau memegang jawatan Perdana Menteri.
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan anggota kabinet yang lain turut hadir dengan berpakaian sut gelap dan bertali leher merah semasa pengumuman itu.
Pengumuman itu amat dinanti-nantikan rakyat Malaysia di seluruh negara terutama apabila makluman awal dibuat bahawa perdana menteri akan membuat pengumuman khas melalui televisyen dan radio pagi ini.
Najib berkata Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mua'adzam Shah memberi perkenan pembubaran Dewan Rakyat berkuatkuasa Rabu.
Terdahulu, Najib menghadap Seri Paduka di Istana Negara. Kenderaan rasmi Perdana Menteri kelihatan memasuki perkarangan Istana pada 8.10 pagi dan keluar kira-kira sejam kemudian.
Sejurus selepas itu, beliau mempengerusikan mesyuarat mingguan Kabinet di Putrajaya.
Dalam pengumumannya selama 13 minit itu, perdana menteri merakamkan penghargaan kepada rakyat Malaysia kerana memberi kepercayaan kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk menerajui kepimpinan negara sejak lima tahun yang lepas.
"Saya dan rakan-rakan amat menghargai dan menjunjung tinggi kepercayaan yang telah diberikan rakyat, kami telah dan memberikan yang terbaik demi untuk Malaysia dan warganya," katanya.
Najib berkata dalam tempoh empat tahun lepas, sepanjang kepimpinan beliau sebagai perdana menteri, rakyat Malaysia dapat mengalami dan menyaksikan sendiri bagaimana fasa perancangan Prakarsa Transformasi Nasional membuahkan hasil dalam meningkatkan kesejahteraan hidup mereka dan kemakmuran negara.
Prakarsa Transformasi Nasional itu melibatkan Program Transformasi Kerajaan (GTP), Program Transformasi Ekonomi (ETP), Program Transformasi Politik (PTP) dan Program Transformasi Sosial.
Najib berkata kerajaan yang ada pada hari ini ialah kerajaan yang bertanggungjawab dan meletakkan kepentingan rakyat Malaysia di atas segala-galanya.
"Kami merupakan kerajaan yang apabila berjanji, kami menepati janji, kami merupakan kerajaan yang apabila diberi amanah akan menjunjung dan memeliharanya.
"Bukan sikap kami menanam tebu di bibir. Sesungguhnya bukti komitmen kami mampu dinilai serta diukur daripada prestasi dan jejak rekod kami sepanjang empat tahun yang lalu," katanya.
Perdana menteri berkata, beliau dan rakan-rakan kepimpinan BN akan mula turun dan bertemu rakyat d seluruh pelusuk negara bagi meyakinkan warga Malaysia mengapa BN perlu diberi peluang untuk kembali membentuk kerajaan dengan majoriti kukuh.
"Kami akan menggunakan mandat kukuh yang diberi, Insyaallah untuk melipatgandakan lagi usaha bagi melakar masa depan yang lebih baik, yang lebih bermakna, yang lebih sejahtera untuk saudara dan saudari serta anak cucu kita semua," katanya.
Dalam pada itu, Najib mengingatkan rakyat Malaysia supaya menunaikan hak mereka sebagai pengundi dan tidak membazirkan peluang yang diberikan untuk memilih kerajaan yang akan mendukung aspirasi rakyat.
"Setiap undi anda adalah penting, jangan bazirkan ia, janganlah dipertaruhkan masa depan anak-anak dan negara Malaysia.
"Fikir dan renungkanlah dengan sebaik-baiknya sebelum membuat keputusan, ini kerana undi saudara dan saudari akan menentukan bukan sahaja hala tuju negara dan negeri, tetapi juga untung nasib anak cucu kita semua," katanya.
Perdana menteri menasihatkan ketua-ketua kerajaan negeri untuk menghadap ketua negeri masing-masing bagi mendapat perkenan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN). DUN Negeri Sembilan terbubar secara automatik pada 28 Mac.
Katanya ini bagi membolehkan pilihan raya umum diselaraskan secara serentak di seluruh negara.
Hanya Sarawak terkecuali bagi pilihan raya negeri diadakan kerana telah mengadakannya pada 16 April 2011. (Bernama)
No comments:
Post a Comment