Thursday, 16 May 2013

MESEJ KHAS UNTUK KHAIRY JAMALUDDIN THE KITOL! TOLONG SAMPAIKAN PADA DIA!



Akhirnya Ketua Pergerakan Pemuda UMNO yang meminta jawatan Menteri, mendapat apa yang diidam-idamkannya. Ternyata juga, taktiknya untuk menolak tawaran jawatan Timbalan Menteri, juga menjadi kerana sepertimana juga jawatan Naib Ketua Pemuda UMNO yang pernah disandangnya dahulu, imej yang dipaparkan serta sokongan berbayar yang ada padanya, membolehkan dia mencapai apa yang diidam-idamkan.

Khairy Jamaluddin telah diberikan jawatan Menteri Belia dan Sukan. Sekaligus jawatan tersebut sepatutnya mendekatkan dia dengan golongan belia dan menarik seramai mungkin belia atau lebih tepat lagi pengundi kali pertama, kedua dan ketiga agar menyokong Kerajaan yang dia merupakan salah seorang daripada anggota kabinetnya.

Persoalan yang dimunculkan sekarang ialah, mampukah Khairy Jamaluddin memikul tugas berkenaan atau dia sebenarnya akan mengulangi semula apa yang pernah dilakukannya dahulu ketika berada dalam FAM?

Tentu anda masih ingat dengan pasukan MYTEAM di mana Khairy Jamaluddin terlibat sepenuhnya? Bukankah pada ketika itu, MYTEAM mendapat publisiti yang amat hebat terutama menerusi sokongan tidak berbelah bahagi stesen televisyen TV3?

Dengan rancangan yang berbentuk program realiti, ahli-ahli pasukan dikumpulkan dari golongan yang kononnya tidak mempunyai ruang untuk pasukan-pasukan yang lain. Atau dengan kata lain, MYTEAM dibentuk daripada pemain-pemain amatur berbakat besar yang tidak dihiraukan oleh pengurusan pasukan-pasukan bola sepak lain di seluruh Malaysia.

Publisiti yang besar dan cakap besar Khairy Jamaluddin, pasukan tersebut menyertai Liga Bola Sepak Malaysia. Ramai yang melihat MYTEAM sebagai sebuah pasukan baru yang mempunyai reputasi digeruni.

Cakap-cakap besar Khairy Jamaluddin yang kononnya dia lebih pandai dan lebih hebat dalam pengurusan bola sepak tanah air, akhirnya diberi peluang untuk membuktikan kehebatannya itu. Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah memberi laluan kepada Khairy.

Ternyata, manusia yang banyak bercakap dan sentiasa cuba membuktikan mereka lebih hebat daripada orang lain menerusi amalan percakapan, tidak ke mana-mana pun. Prestasi pasukan MYTEAM tidak pernah lebih baik daripada pasukan liga kampung. Manakala jawatannya dalam FAM juga tidak meningkatkan mutu bola sepak tanahair.

Akhirnya seperti yang diketahui, MYTEAM entah ke mana, dan Khairy Jamaluddin terpaksa meletak jawatan dengan muka biru birat menahan malu apabila dia tidak sahaja gagal membuktikan kata-katanya, bahkan pengetahuannya tentang bola sepak juga amat melucukan. Pemain-pemain import akhirnya dibenarkan bermain semula dalam Liga Malaysia sebagai cara menarik penonton.

Kini, Khairy Jamaluddin sudah bergelar Menteri Belia dan Sukan. Jawatannya kali ini lebih besar dari mana-mana jawatan yang pernah disandangnya, termasuklah sebagai Ketua Pemuda UMNO Malaysia.

Apakah prestasinya juga tidak sehebat mana walaupun para penyokong dan upahan propagandanya cuba menggambarkan betapa dia adalah seorang anak muda yang penuh idea dan berinovatif? Apakah Khairy Jamaluddin akan memberikan seribu satu macam alasan lagi untuk membela dirinya sebagaimana yang berlaku dalam banyak kes sebelum ini, termasuklah dengan bantuan kaum upahannya?

Mendengar ikrar Khairy Jamaluddin bahawa tugas yang sedang dipikulnya sekarang adalah amanah yang sangat berat, mampu membuatkan ramai yang tersenyum lebar. Apakan tidak, sebagai Ketua Pemuda UMNO sendiri pun, Khairy Jamaluddin gagal total, apakah dengan menjadi Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin mampu memperbaiki prestasinya?

Bagaimana agaknya kalau ditanya, apa yang telah dilakukan oleh Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia sepanjang PRU13 dan apa pula yang telah dilakukan untuk membantu calon-calon Barisan Nasional sehinggakan kebanyakan calon tertungging, kecundang dan tewas dengan majoriti yang memalukan, walhal Pergerakan Pemuda UMNO itu sendiri merupakan wakil UMNO untuk meraih sokongan daripada golongan muda kepada parti berkenaan sepatutnya dipertanggungjawabkan untuk kecuaian berkenaan?

PRU13 telah pun berlalu. Keputusannya telah diterima sama ada dengan protes mahupun dengan dada terbuka. Pun begitu, ramai yang masih menaruh harapan, Ketua Pergerakan UMNO yang paling gagal itu, tidak lagi bersikap HANGAT-HANGAT TAHI AYAM sebaliknya lebih cekal dengan Melayu, Malaysia dan Islamnya.

Dan bukan lagi dengan agenda NEW POLITIC mahupun ingin menjadi Perdana Menteri Malaysia pada usia 40 tahun semata-mata!

No comments: