Wednesday 14 November 2012

Yang Mualaf lagi tahu hukum.


THURSDAY, NOVEMBER 15, 2012


Dr. Ridhuan Tee Abdullah – Saya tidak nampak Utusan Malaysia tersalah lapor mengenai berita utamanya, Melayu bebas pilih agama? berhubung pendirian ahli parlimen Lembah Pantai, dalam satu forum anjuran gereja bertajuk, “Islamic State: Which version? Whose responsibility?”. Saya juga membaca berita yang sama dalam laman web ultra kiasu, malaysiakini.

Untuk menerangkan tajuk yang sebegini besar, biarkanlah para sarjana dan agamawan dalam bidang, yang menunjukkan pandai, bukannya ahli politik yang cetek ilmunya, yang tidak ada latar belakang agama. Akhirnya, siapa yang terperangkap! Tidak perlulah bersikap defensif apabila berita ini disensasikan. Kita yang gatal mulut.

Jika kita berilmu dan memahami sensitiviti budaya politik Melayu, serta mahir dalam menafsirkan ayat al-Quran, sudah tentu perkara ini tidak berlaku. Saranan saya, jika tidak faham, bertanya. Tetapi jangan mengeluarkan kenyataan seolah-olah mahu menunjukkan kita Muslim yang moderat. Kita adalah Muslim fundamental, yakni berpegang kepada ajaran Islam sebenar. Inilah akibatnya apabila berpolitik bukan kerana mahu menegakkan kesucian agama, tetapi berpolitik untuk mendapatkan undi atau matlamat menghalalkan cara. Teguran ini buat semua parti politik yang majoritinya orang Islam.

Kita terlalu mahu menjaga hati orang lain, sedangkan hati sesama sendiri dihiris, terhiris dan menghiris dilakukan dengan sengaja. Maka bersoraklah orang bukan Islam mendengar kenyataan demi kenyataan kita, untuk menjaga dan melindungi hati mereka.

Apa yang saya faham, ayat tidak ada paksaan dalam beragama, dalam surah al-Baqarah: 256, adalah ditujukan kepada orang bukan Islam, walaupun semua ayat dalam al-Quran ditujukan kepada semua manusia. Kita tidak boleh paksa bukan Islam memeluk Islam, kecuali atas kerelaan mereka.

Misalnya, dahulu saya tidak Islam, walaupun saya cenderung terhadap Islam, orang Islam masih tidak boleh paksa saya memeluk Islam, kecuali atas kerelaan saya sendiri. Bila ada kerelaan dan keikhlasan, ketika itu, orang Islam boleh membantu untuk proses pengIslaman seterusnya. Pendek kata, tidak ada unsur paksaan, kecuali dalam kes-kes tertentu dalam zaman dahulu.

Perlu diingat, setelah saya memeluk Islam atas kerelaan sendiri, maka saya tidak boleh keluar daripada Islam atau murtad sewenang-wenang kerana saya telah memilih Islam. Islam terlalu suci dan mulia, sebab itu kita tidak boleh menyalahkan Islam dan keluar Islam, setelah memeluk Islam. Islam bukan agama kedai kopi, keluar masuk sesuka hati, bila ‘dirasakan’ sukar untuk diamalkan.

Soalan sebeginilah yang selalu dipertanyakan, kenapa agama Islam begitu rigid dan tidak adil? Boleh masuk Islam tetapi tidak boleh keluar? Kenapa tidak ikut seperti Indonesia atau India, tidak perlu memeluk Islam untuk mengahwini bukan Islam?

Perlu saya jelaskan, selain daripada tidak boleh mempermainkan agama Islam seperti kedai kopi, orang (agama) Islam turut dilindungi oleh perlembagaan. Baca Perlembagaan Negeri dan Perlembagaan Persekutuan, Perkara 3, 11 dan Perkara 160 (2), makna Melayu, yang membawa erti, beragama Islam, bertutur dalam bahasa Melayu dan berbudaya Melayu. Bermakna, orang Melayu mesti beragama Islam. Jika keluar Islam, maka, sudah tidak Melayu lagi namanya. Kebebasan menukar agama tidak terpakai kepada orang Melayu (Islam).

Di negara Arab, mungkin ada Arab Kristian atau Arab Yahudi dan sebagainya. Tetapi di Malaysia, bila disebut Melayu, mereka mesti menerima Islam sebagai cara hidup, kecuali mereka murtad tanpa pengetahuan seperti yang berlaku dalam beberapa kes. Inilah perlindungan dalam perlembagaan yang tidak dalam negara lain hatta dalam negara majoriti Islam, kecuali negara kita. Sebab itulah saya agak sukar untuk menerima pendapat jahil yang mengatakan Malaysia sebuah negara sekular.

Justeru, kedudukan Islam mesti dipertahankan bermati-matian daripada dicerobohi oleh orang lain, kerana ada perlindungan. Dalam hal ini, saya boleh berterima kasih kepada kepada Suruhanjaya Reid dan jawatan kuasanya atas perlindungan ini.

Perlindungan ini bukanlah bermakna, hak bukan Islam diketepikan. Ia juga bukan bermakna, agama Islam dan umatnya tidak boleh disentuh atau ditegur. Hakikatnya, kedudukan Islam begitu istimewa dalam perlembagaan, sehinggakan, orang bukan Islam tidak boleh berdakyah agama mereka kepada orang Islam, perkara 11 (4) Perlembagaan Persekutuan. Maka, tidak hairanlah kita begitu sensitif perkara berhubung penggunaan kalimah Allah, Injil versi Melayu dan sebagainya. Kenapa baharu sekarang dibangkitkan?

Menurut pemahaman saya, ternyata ultra kiasu Melayu tersebut tidak sensitif atau tidak faham budaya politik negara ini. Mungkin dia baru setahun jagung menceburi bidang politik sehingga menyebabkan beliau mudah atau sengaja tersasul.

Kadang-kadang terlalu berlagak pandaipun tidak boleh juga. Tidak mengapa, kita nampak bodoh seketika, asalkan tidak merugikan Islam. Saya amat bimbang dengan umat Islam hari ini, masing-masing hendak menunjukkan pandai. Mereka tidak sedar bahawa ‘kepandaian’ mereka itu sebenarnya boleh menjahanamkan Islam sehingga Islam dianggap sama dengan agama lain atau pluralisme. Kita boleh berkongsi nilai-nilai agama yang mulia, tetapi kita tidak berkongsi agama, kerana akidah berbeza.

Oleh kerana ahli parlimen ini bukan kelulusan agama atau undang-undang, lebih baik jangan terlalu obsess dalam membincang isu-isu ini, kerana boleh membahayakan diri sendiri. Inilah akibatnya apabila kita terlalu ghairah untuk berkuasa. Bila bercakap, tidak fikir implikasinya terhadap agama suci murni ini.

Kenyataan akhbar beliau yang disiarkan sehari kemudian, agar sukar untuk juga diterima. Jika Utusan tersalah siar, saman sajalah, habis cerita. Saya lihat ahli parlimen yang baru sepenggal ini terlebih semangat, mula menggelabah daripada ‘diserang’ bertubi-tubi. Saya ingatkan bapanya, akan membahaskan apa yang benar, apa yang salah, tetapi nampaknya tidak, beliau terus mempertahankan anaknya.

Dalam kenyataan akhbarnya, ahli parlimen tersebut menegaskan, rakyat tidak seharusnya dipaksa mengamalkan agama tertentu dan perkara itu juga perlu terpakai kepada orang Melayu. “Apabila anda bertanya saya, tiada paksaan dalam beragama… mengapa sesetengah pihak rasa bersalah, perkara ini (kebebasan beragama) hanya terpakai kepada orang bukan Melayu, sepatutnya diguna pakai secara sama rata.”

Apakah maksud kata-kata ini? Tidakkah ia membawa maksud seperti yang dilaporkan. Orang Melayu juga bebas memilih agamanya. Lebih menyedihkan, ahli parlimen Shah Alam pun menyokong hujah beliau. Saya harap tidak berlaku taksub kepartian. Bincanglah mana yang benar, mana yang salah. Bukan cuba untuk menutup kesalahan orang lain. Jika salah, ditegur dan dilentur. Ini tidak, asyik menyalahkan Utusan Malaysia sebagai tali barut Umno. Apa sahaja yang Utusan laporkan, mesti Umno. Politik jenis apakah ini?

Kata ahli parlimen itu lagi, “seperti saya yang bersekolah di Assunta (sekolah menengah) dengan salib yang besar di dalam dewan dan nyanyian penganut Katholik tidak mempengaruhi saya,”. Bagaimanapun beliau tidak menyatakan orang Melayu sepatutnya diberikan hak dari segi undang-undang berkaitan kebebasan beragama sambil berkata : “Saya, sudah tentu, terikat kepada pandangan semasa.” Kepada soalan berhubung hak komuniti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), beliau mengakui, sebagai seorang Islam dan mereka yang menganut Katholik, terdapat batasannya.

Kenyataan ini juga sukar untuk diterima, apa pandangan semasa yang dimaksudkan? Agama Islam tertakluk kepada al-Quran, Hadis dan ijmak para ulamak. Dalam kes ayat 256 Surah Al-baqarah, tafsirannya begitu jelas. Begitu juga soal mengharamkan LBGT? Kalau ada yang tidak mengharamkannya pun, paling kurang, semua agama tidak setuju dengan perlakuan ini. Saya tidak nafikan hak LGBT, tetapi apa yang tersirat di sebalik perjuangan mereka jika bukan untuk mempropagandakan dan menghalalkan aktiviti ini agar diterima sebagai umum.

Ulamak manakah yang dirujuk kepada ahli parlimen tersebut dalam memberikan tafsiran mengenai Islam? Setelah membaca akhbar Sinar Harian, beliau hanya merujuk kepada bekas mufti Perlis, setelah isu ini disensasikan. Kenapa bekas mufti tersebut tidak rujuk sebelum kenyataan dikeluarkan? Nasihat saya, kalau tidak faham, rujuklah ‘ulamak’ dalam PKR yang menghadiri majlis al-Arqam itu. Menteri Besar Kelantanpun tidak berani memberikan komen ke atas kenyataan tersebut.

Saya cadangkan ahli parlimen tersebut, mengamalkan budaya merujuk pakar jika ingin mendukung program pendidikan dan dakwah untuk memperkukuh aqidah dan meningkat kefahaman terhadap Islam. Bukan menunjuk pandai terlebih dahulu. Kemudian apabila sudah terjebak baharulah ulamak dirujuk.

Orang Islam tidak boleh murtad (atau pura-pura) dalam apa jua keadaan sekalipun, kecuali antara hidup dengan mati, seperti peristiwa Mashitah dan Firaun, sama ada terjun atau tidak, ke dalam kawah air panas yang sedang menggelegak. Namun, Mashitah memilih untuk tidak menyamar dan terjun ke dalam kawah panas. Apakah kita boleh sewenang-wenang mengatakan umat Islam bebas untuk memilih agamanya atas dasar sama hak dengan bukan Islam?

Akhirnya, saya nasihatkan, ahli parlimen tersebut tidak perlu kesal jika ada usaha kalangan yang cuba memutarbelitkan kenyataan beliau seolah-olah beliau meremehkan soal aqidah atau mudah menerima orang Islam yang memilih untuk murtad. Persoalan saya, kenapa kita memberikan ruang untuk kenyataan kita salahertikan. Ini bermakna, kenyataan tersebut tidak jelas, membawa makna tersurat dan tersirat. Perlu diingatkan juga, berita daripada akhbar dan portal pembangkangpun tidak kurang juga memutar belitkan berita-berita lawannya.

1 comment:

Anonymous said...

Ingin saya berkongsi cerita benar berkenaan Surah Albaqarah, ayat 256itu.
Suami saya seorang Mualaf. Dia berasal dan dibesarkan di bahagian Bible Belt, USA dan memang kuat menganut ugama Kristian.Dia mulanya belajar untuk menjadi paderi akan tetapi pegangan ugama dia tercabar apabila dia mengkaji AlQuran. Semasa ingin memeluk Islam,imam masjid di USA yg dia pergi tu menyuruh dia balik dan berfikir tentang perkara itu kerana implikasinya sangat besar dan dia akan menghadapi tentangan yang hebat dari masyarakat dan keluarganya yg ratarata kuat pegangan Kristian. Ini berlaku hingga 3 kali berturut turut dalam masa berbulan bulan.Selepas kali ketiga barulah imam tu bersedia untuk mendengar suami saya melafaskan syahadah dan mengajar dia berkenaan ugama Islam dengan lebih mendalam.
Inilah yang dikatakan tiada paksaan dalam Islam.Suami saya tidak ditarik dengan wang ringgit dan kesenangan hidup ataupun ditarik untuk menganut ugama Islam dengan cara halus sepertimana mubaligh Kristian di Malaysia sedang melakukan pada umat Islam dinegara ini.