Monday 5 March 2012

Tun Mahathir : NGO AS Taja Anwar Jadi PM Boneka Barat

AIDCNews – 6/03/12 – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak menolak kemungkinan NGO-NGO Amerika Syarikat (AS) sedang menaja Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjayakan “Regime Change” iaitu Pertukaran Pemerintah sepertimana yang telah dilakukan di Timur Tengah.

“Campurtangan AS dalam gerakan untuk menjatuhkan kerajaan negara-negara yang tidak sebulu dengannya amatlah jelas. Sudah tentu di Malaysia juga pembiayaan badan-badan NGO dilakukan untuk menjayakan “Regime Change” (Pertukaran Pemerintah).

“Apa yang sedang dilakukan oleh AS di Negara Arab sudah tentu dilakukan juga di Malaysia. NGO-NGO yang sedang menghasut dan memburukkan Kerajaan supaya Anwar Ibrahim dapat menjadi Perdana Menteri tentu sekali mendapat bantuan kewangan dan media AS”, katanya dalam tulisan terbaru di blognya, chedet.cc

Menurutnya, NGO AS yang berminat terhadap regime change di Malaysia itu termasuk dua cabang NED (National Endowment for Democacy), iaitu NDI (National Democratic Institute) dan IRI (International Republican Institute) serta badan pemikir AS yang dinamakan Freedom House.

Wikipedia mencatatkan, selain NDI, IRI, Freedom House juga menerima dana daripada NED.

Menurut Dr Mahathir, sebab utama NGO-NGO AS itu menaja Anwar untuk melaksanakan dasar-dasar tertentu yang diharamkan di Malaysia sebelum ini.

“Mereka kononnya tidak puas hati dengan dasar kerajaan berkenaan hak asasi manusia termasuk seksualiti bebas iaitu menghalalkan zina, perkahwinan sejenis, menghapuskan institusi perkahwinan dan kekeluargaan dan liwat.

“Sebenarnya tujuan mereka ialah untuk menjayakan hasrat AS untuk menjadikan Malaysia menjadi alat AS. Sudah tentu setelah Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri Malaysia, tuntutan NGO-NGO berkenaan akan dihalalkan.

“Sebagai penyokong kuat Israel, AS tetap akan memujuk Anwar supaya mengadakan hubungan diplomatik dengan negara Yahudi itu”, katanya.

Menurutnya, sama ada berjaya atau tidak matlamat AS itu bergantung kepada keputusan rakyat Malaysia.

“Tetapi terpulanglah kepada rakyat Malaysia. Jika mereka suka Malaysia menjadi alat AS yang merupakan penyokong kuat Israel, (maka) sokonglah puak yang menerima bantuan dan sokongan AS itu.

“Tetapi jika kita ingin betul-betul merdeka, tidak dikongkong oleh AS dan sekutunya, tolaklah mereka yang sanggup diperalatkan oleh AS untuk menukar Kerajaan itu”, katanya.

Tulisan terbaru Dr Mahathir itu sebagai susulan daripada artikel bertajuk Regime Change,13 Februari lalu.

Menurutnya AS, Eropah dan Israel telah berusaha melaksanakan regime change dalam pelbagai cara di seluruh dunia, termasuk Iraq, Syria, Iran, Negara-Negara Arab, Chile, Indonesia dan juga tidak terkecuali Malaysia.

“Memang pun Malaysia menjadi calon untuk “regime change” kerana Malaysia tidak mengiktiraf Israel dan mengkritik beberapa dasar AS.

“Calon AS dan Israel untuk mendiri kerajaan boneka ialah Anwar Ibrahim. Sejak awal lagi mereka menjalin hubungan yang rapat dengan Anwar”, katanya.

Menurutnya, Anwar juga nampaknya begitu berminat dengan sokongan dan tajaan asing itu untuk merealisasikan cita-citanya menjadi Perdana Menteri (PM).

“Anwar pula ternampak jelas menganggap sokongan AS boleh menjayakan cita-citanya untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia.

“Oleh itu Anwar memberi gambaran bahawa dia adalah seorang liberal yang terima dan sokong konsep-konsep kebaratan seperti hak asasi manusia, kebebasan dalam serba-serbi, sikap anti-kroni dan rasuah kononnya, penolakan DEB yang dikatakan menindas kaum tertentu di Malaysia dan bermacam lagi yang boleh mendapat pujian dan sokongan oleh AS.

“Ia cukup berjaya kerana Amerika anggap Anwar amat layak untuk melaksanakan “regime change” di Malaysia”, katanya.

Katanya, hubungan Anwar dengan pelobi-pelobi Yahudi di AS dan kesediaannya mengiktiraf Negara Israel merupakan faktor utama yang mendorong campur tangan asing.

“Pelobi yang amat berkesan di AS ialah orang Yahudi. Ramai dari kawan-kawan Anwar di AS seperti Paul Wolfowitz, Cohen dan lain-lain adalah dari kumpulan neo-con yang mencipta dasar penaklukan dunia oleh Amerika (Project for the new American Century).

“Adalah menjadi harapan AS, apabila “regime change” berjaya di Malaysia dan Anwar menjadi Perdana Menteri maka mungkin Malaysia akan ada hubungan diplomatik dengan Israel dan menjauhkan diri dari perjuangan Palestin.

“Dengan ini sebuah kerajaan boneka akan tertubuh di Malaysia yang akan sokong apa sahaja usaha Amerika untuk menakluk dunia”, katanya.

Dr Chandra: Pertukaran Rejim di Malaysia?

No comments: