Friday, 21 September 2012

KOMUNIS PUNYA IDEOLOGI BANGKIT BALIK DI MALAYSIA


AIDC – Pengibaran bendera merah putih, Sang Saka Malaya pada malam ambang kemerdekaan dan Hari Malaysia signifikan kepada sesetengah pihak, sekurang-kurangnya sebagai mercu tanda kebangkitan semula kumpulan sosialis di Malaysia.
Penganjur Sang Saka 2012 adalah individu yang sama yang terlibat dalam Kelab Sosialis Universiti Malaya sekitar awal tahun 70-an.
Individu itu adalah Hishamuddin Rais atau Isham Rais.
Isham Rais, aktivis pelajar, Kelab Sosialis UM 1974
Mohd Shuhaimi Al Maniri dalam bukunya, “Di Sebalik Tabir Politik Kampus”, Pustaka Generasi Baru, 1994 memperkenalkan Isham Rais sebagai Setiausaha Agung PMUM (Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya) pada tahun 1974, aktivis pelajar yang melarikan diri ke luar negara kerana bimbang ditahan ISA.
Isham hanya kembali semula ke Malaysia pada 18 November 1994, ketika Anwar Ibrahim menjadi Timbalan Perdana Menteri Malaysia.
Kini Isham adalah hard core koordinator BERSIH, Janji BERSIH, pengasas Universiti Bangsar Utama (UBU) dan Radio Bangsar Utama serta melalui lamannya, tukar tiub dia menggalakkan pengibaran bendera Sang Saka serta memperlekehkan bendera Jalur Gemilang.
Isham pula disokong kuat oleh anak muda berumur sekitar akhir 20-an, Najwan Halimi, pegawai Anwar untuk tugas sebagai penasihat ekonomi Selangor.
Sang Saka Malaya
Najwan yang juga Timbalan Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) pula mengaku dirinya sebagai pencipta bendera Sang Saka pada tahun 2007.
Dari zaman pelajarnya di Uniten, Najwan sudah dikader di institut badan pemikir Anwar, IKD (Institut Kajian Dasar) di bawah kelolaan Khalid Jaafar, maka tidak hairan jika dia mendakwa sebagai pencipta bendera Sang Saka dan pengasas serta pengarah Akademi Pak Sako, sebuah akademi yang memperjuangkan ideologi Pak Sako iaitu nama sebenar kepada Ishak Haji Muhammad.
Barangkali idea asal Sang Saka bukan dari pemikirannya sendiri, tetapi hasil brainwash idea dalam badan pemikir Anwar.
Prof Datuk Dr Ramlah Adam dalam bukunya “Sumbanganmu Dikenang”, DBP, 2002 mencatatkan Ishak Haji Muhammad (14 November 1909 – 7 November 1991) adalah bekas Presiden Parti Buruh Malaya.
Pada tahun 1958, Parti Buruh pimpinan Ishak telah mengadakan kerjasama dengan Parti Rakyat pimpinan Ahmad Boestamam bagi membentuk satu barisan sosialis yang dinamakan Malayan Socialist Front (MSF).
“Kerjasama ini juga bertujuan untuk mencairkan perasaan perkauman yang menguasai kedua-dua parti. Parti Rakyat adalah parti yang dikuasai oleh orang Melayu, manakala Parti Buruh pula dikuasai oleh orang Cina dan India.
“MSF berjaya memenangi lapan kerusi parlimen dan enam belas kerusi negeri (dalam Pilihan Raya Umum Tanah Melayu 1959)..Namun Ishak gagal memenangi kerusi parlimen Temerloh yang ditandinginya (sedangkan) Ahmad Boestamam memenangi kerusi Setapak dan Dr Burhanuddin telah memenangi kerusi Besut,”kata pakar sejarah Malaysia itu.
Menurut Ramlah kekalahan Ishak berpunca dari penolakan orang Melayu terhadap Parti Buruh yang dilihat sebagai jelmaan parti komunis.
“Tindakannya memimpin parti Buruh tidak digemari mereka (orang Melayu). Tambahan pula label ‘komunis’ yang digunakan oleh UMNO dan kerajaan Perikatan kepada MSF telah disebar seluas-luasnya dan menakutkan orang Melayu.
“Kegiatannya dalam politik menjadi lembab kerana gabungan MSF juga akhirnya menghadapi masalah kepimpinan dan dasar perjuangan. Ahmad Boestamam yang menjadi ketua MSF di parlimen dan parti, bertelingkah dengan kehendak Parti Buruh yang mahu Bahasa Cina didaulatkan sebagai bahasa kebangsaan.
“Sedangkan Ahmad Boestamam yang juga pemimpin Parti Rakyat lebih suka Bahasa Melayu menjadi bahasa kebangsaan dan ia juga merupakan asas dasar pelajaran negara, seperti yang dibuat oleh Penyata Rahman talib tahun 1962.
“Perselisihan pendapat ini menyebabkan Ahmad Boestamam meletakkan jawatan sebagai Ketua MSF di parlimen. Ishak sebagai Ketua Parti Buruh tidak dapat berbuat apa-apa kerana beliau melihat kebenaran pendapat dan pegangan Ahmad Boestamam.
“Namun sebagai pemimpinnya, beliau secara teknikal tidak patut menyokong Ahmad Boestamam. Ishak mengambil sikap berkecuali dalam soal ini. Akibatnya, beliau dipandang serong oleh pucuk pimpinan Parti Rakyat dan orang Melayu umumnya,” katanya lagi.
Parti Buruh terbatal sebagai parti politik pada September 1972 kerana kegagalan parti itu menghantar laporan tahunan kepada Pendaftar Pertubuhan.
Sang Saka warisan komunis
Berkenaan bendera Sang Saka, Ramlah berkata bendera itu tidak pernah digunakan sebagai bendera rasmi Tanah Melayu walaupun ketika dijajah.
Menurutnya, warna merah putih yang dinamakan Sang Saka itu adalah bendera yang digunakan kumpulan yang menyokong pembentukan Indonesia Raya dan sentimennya dibawa pertama kali ke Tanah Melayu oleh Kesatuan Melayu Muda (KMM) pada 1938 pimpinan Ibrahim Yaakob.
“Perkara yang diperjuangkan kumpulan KMM ini adalah memerdekakan Tanah Melayu, tetapi dengan cara bergabung dengan Republik Indonesia Raya atau Melayu Raya.
“Namun majoriti orang Melayu di Tanah Melayu ketika itu tidak bersetuju perjuangan mereka kerana orang Melayu mendukung institusi Raja-Raja Melayu dan Islam, kerana itu majoriti memilih perjuangan Umno,” katanya.
Tambahnya lagi, selepas KMM diharamkan, ideologi itu dibawa pula Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang dipimpin oleh Mokhtaruddin Lasso, Dr Burhanuddin Helmi dan Ahmad Boestamam.
“Mereka menggunakan bendera Sang Saka ini dalam ceramah mereka, namun perjuangan mereka ini ditolak majoriti rakyat Tanah Melayu, tetapi saki baki pendukung ideologi itu hari ini cuba menghidupkannya semula,” katanya.
Wikipedia Ahmad Boestamam menyebut karier politik tokoh itu bermula dengan menyertai KMM sebagai Penolong Setiausaha yang kemudiannya menubuhkan Gerakan Kiri Tanah Air (KITA) dengan bekerjasama dengan Parti Komunis Malaya (PKM) dan British untuk memerangi tentera Jepun.
Selepas itu Ahmad Boestamam menubuhkan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) pada tahun 1945 juga mendapat bantuan PKM.
“Ahmad Boestamam membenarkan PKM mempengaruhi PKMM. Ini bukan sahaja kerana pentadbiran Tanah Melayu berada di bawah penguasaan PKM, tetapi juga kerana bantuan kewangan dan pengurusan surat khabarnya, Suara Rakyat dan Voice of the People dipegang oleh PKM.
“Teraju utama, iaitu Presiden PKMM juga dikuasai oleh PKM, melalui Mokhtaruddin Lasso, seorang pelarian politik Parti Komunis Indonesia (PKI) yang menjadi ketua orang Melayu Regimen ke-10 MPAJA.
“Akhirnya, PKM menentukan dasar politik PKMM. Dasar politik untuk melindungi dan berjuang bagi mewujudkan perasaan kebangsaan, memajukan ekonomi, pelajaran dan keadilan bagi masyarakat Melayu telah diubah oleh PKM. PKM juga telah meletakkan satu dasar yang penting yang melambangkan pembentukan sebuah bangsa “Malayan”, sesuai dengan dasarnya mewujudkan Barisan Bersatu Malayan pada masa depan.
“Dengan itu, dasar PKMM tidak lagi bersifat Melayu seratus peratus. Ia telah disesuaikan dengan cita-cita PKM.,” lapor wikipedia itu.
Pada tahun 1955, Ahmad Boestamam menubuhkan Parti Rakyat yang kekal hingga ke hari ini sebagai PRM (Parti Rakyat Malaysia).
Kelab Sosialis & 13 Mei
Menurut Loh Kah Seng, ‘University of Malaya Socialist Club’ (Kelab Sosialis Universiti Malaya) ditubuhkan pada tahun 1953 di Singapura, hasil cadangan James Puthucheary bersama Dollah Majid kepada Naib Canselor Sydney Caine.
Aktivis-aktivisnya terdiri daripada James Puthucheary, Lam Khuan Kit, M K Rajakumar, Poh Soo Kai, Kwa Boo Sun dan wikipedia menambah beberapa nama lain lagi termasuk Syed Husin Ali dan Kassim Ahmad.
Apabila UM berpindah ke Kuala Lumpur pada 1962, Kelab Sosialis yang pernah wujud di Singapura dihidupkan semula di Malaya.
“Hanya Kelab Sosialis mengekalkan autonomi. Pada tahun 1967 juga, beberapa badan pelajar diketuai oleh individu progresif seperti Syed Hamid Ali, yang Menjadi Ketua Setiausaha PMUM, dan Sanusi Osman, yang Menjadi Presiden PBMUM (Persatuan Bahasa Melayu UM). Kedua-dua mereka ahli Kelab Sosialis,” lapor Hassan Karim dalam rencananya bertajuk “The Student Movement In Malaysia, 1967 – 74
Syed Hamid Ali dalam memperingati kematian salah seorang pengasas Kelab Sosialis, Dr M K Rajakumarberkata beliau mengenali mendiang melalui abangnya, Syed Husin Ali.
Selepas tamat belajar di UM, Syed Hamid dilaporkan thenutgraph.com menyertai Parti Sosialis Rakyat Malaysia (PSRM) sehingga dilantik menjadi setiausaha agung parti itu.
PSRM adalah nama baru kepada PRM yang dilakukan oleh Presiden barunya, Kassim Ahmad memasukkan perkataan ‘sosialis’ ke dalam parti itu sebagai satu strategi untuk menarik minat keahlian.
Manakala Kelab Sosialis diteruskan pula oleh Isham Rais.
“Ketika saya memasuki UM pada tahun 1971, saya telah memutuskan untuk terlibat dalam PMUM dan Kelab Sosialis.
“Kami juga telah mengadakan perbincangan dan forum bersama dengan tokoh kumpulan berhaluan kiri. Kami menjemput Kassim Ahmad dan beberapa pemimpin kiri lain tetapi kami tidak menemui petunjuk sebenar tentang selok-belok ajaran Marxist,” kata Isham kepada thestar.
Thenutgraph.com meyebut Isham Rais adalah ketua Kelab Sosialis dari tahun 1971 hingga 1974.
Bekas Perdana Menteri Malaysia pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj ketika menulis buku bertajuk “Sebelum dan Selepas 13 Mei”, terbitan Utusan Melayu Sdn. Bhd. Kuala Lumpur, 1969 berkata provokasi komunis yang melampau merupakan faktor tercetusnya peristiwa hitam negara, 13 Mei 1969.
Menurut Tunku, pengaruh Komunis telah menyerap masuk ke dalam Parti Buruh dan membangkitkan sentimen kebencian melalui satu perarakan seorang pemuda Cina yang mati terbunuh yang dinobatkan sebagai ‘Pahlawan Merah’.
Anasir komunis melakukan provokasi melampau itu bertujuan untuk menjayakan agenda mereka untuk memulau Pilihan Raya Umum 1969 bagi mengagalkan Malaysia diiktiraf sebagai sebuah negara bebas, makmur dan merdeka.
Syed Hamid Ali, ketua Kelab Sosialis 1969Tunku memetik kenyataan Pegawai Polis Kuala Lumpur, Encik Abu Bakar bin Abdul Aziz, yang menyebut beliau telah didatangi oleh tiga individu iaitu Yap Kau, Tan Siew Eng dan Syed Hamid Ali pada 8 Mei 1969 untuk meminta kebenaran mengadakan perarakan mayat ‘pahlawan merah’ di sekitar ibu kota.
Syed Hamid, ketua Kelab Sosialis UM diperkenalkan sebagai salah seorang ahli Jawatankuasa Penyelenggara yang menjaga hal ehwal perarakan mayat itu.
“Yap Kau yang disebut dalam kenyataan Encik Abu Bakar itu ialah ahli Jawatankuasa Parti Buruh Cawangan Kepong. Miss Tan Siew Eng ialah Naib Pengerusi Parti Buruh (cawangan Kepong). Orang Melayu yang memperkenalkan dirinya sebagai Syed Hamid ialah Syed Hamid bin Ali, Yang Dipertua Persatuan Penuntut-penuntut Universiti Malaya.
“Daripada kenyataan itu dan ketiga-tiga orang tersebut, maka nyatalah bahawa perarakan mayat itu telah diambil alih dari keluarga si mati oleh anasir-anasir politik yang mempunyai tujuan jahat supaya peluang itu dapat digunakan untuk membangkitkan ancaman politik yang berpanjangan,” kata Tunku.
PRM bercantum dengan Keadilan bentuk PKR
Dr Syed Husin Ali dalam bukunya, “Memoir Perjuangan Politik Syed Husin Ali”, SIRD, 2012 menyebut ketika beliau mengetuai parti, nama PSRM ditukar kembali kepada PRM.
Menurutnya, pemansuhan perkataan ‘sosialis’ itu ditentang oleh sekumpulan ahli yang diketuai oleh Dr. Mohd Nasir Hashim yang seterusnya bertindak keluar parti dan menubuhkan parti baru dinamakan PSM (Parti Sosialis Malaysia).
Dr Nasir dan beberapa aktivis PSM termasuk S. Arutchelvam, E. Nalini dan Cynthia Gabriel merupakan antara tenaga penggerak SUARAM.
Selepas Pilihanraya Umum ke-10 pada tahun 1999, Dr Syed Husin mendakwa menerima surat dari penjara yang ditulis oleh Anwar Ibrahim yang memintanya agar mengusahakan pencatuman di antara Parti Keadilan Nasional (PKN) dengan PRM.
“Ramai pemimpin utama PRM, misalnya Sanusi (Setiausaha Agung), Razak Ahmad (Timbalan Presiden), Rustam (Ketua Penerangan) dan aku sendiri menyokong keadah percatuman ini. Penentangan terkuat sekali ialah daripada Koh Siew Yong (Bendahari).
“Mengenai Hassan Karim (Naib Presiden) pula, pendiriannya tidak begitu tetap, kerana beliau berbelah bagi tentang soal menutup parti untuk melaksanakan percantuman itu,”kata Syed Husin.
Menurutnya, oleh kerana proses pencantuman itu lambat, Anwar menerusi Wan Azizah dan Sivarasa telah meminta agar disegerakan.
Dalam sepucuk surat ringkas, Anwar menulis;
“Saya turut mendapat maklumat daripada sdr Sivarasa dan tidak dapat mengelak dari mengeluh dan merasa kecewa dengan tahap kemajuan rundingan..Rundingan khusus PRM-Keadilan saya kira wajar diteruskan.
“Kita kini di peringkat akhir pembentukan Barisan Alternatif yang mantap. Agak malang sekali andaikata muafakat tsb berkecai semata-mata kerana terpaksa tunduk kepada tekanan berberapa aktivis yang menggugat !”
Menurutnya, Isham Rais dan Tian Chua yang berada di penjara Kamunting juga turut mengirim surat mengesanya agar dipercepatkan percatuman.
“Apakah boleh dipercepat merger ? Jika telah bergabung dan mereka meninggalkan Keadilan tidak punya impak – dan Anwar akan ‘segan’ juga untuk kembali ke UMNO – tapi jika tidak, ura2 pulang ke UMNO semakin kuat,” tulis Isham.
Di kalangan parti Keadilan, kata Syed Husin, individu yang kuat menentang percantuman ini adalah Roslan Kassim.
“Dari mula dipersetujui supaya nama parti selepas percantuman ialah Parti Keadilan Rakyat (tanpa Malaysia)..berhubung dengan dasar atau matlamat perjuangan parti, aku dengan bantuan latheffa dan pandangan beberapa orang ahli Jawatankuasa Perunding dari PRM telah merumuskan deraf 17 perkara.
“Jawatankuasa Perunding Bersama telah membincangkannya dan menerima draf yang dikemukakan oleh PRM ini, setelah dibuat beberapa pindaan kecil oleh pihak Keadilan. Kami gembira kerana draf 17 perkara ini diterima dengan agak mudah dan akhirnya dirakamkan dalam fasal berkaitan Dasar Perjuangan dalam perlembagaan parti.
“Mengenai bendera atau lambang parti, kami dari PRM mahu agar warna merah dimasukkan ke dalam bendera Keadilan yang sedia ada. Akan tetapi aku diberitahu beberapa orang pemimpin Keadilan terutama Roslan Kassim yang merupakan minoriti menentang kuat.
“Setelah penentangan dapat diatasi, beberapa contoh ‘design’ dikemukakan. Akhirnya diterima untuk memasukkan dua jalur merah di kiri dan kanan bendera sebagaimana yang ada sekarang,”katanya.
Di pihak PRM pula, Hassan Karim merupakan penentang kuat percatuman dan tidak setuju PRM dibubarkan.
Surat Anwar
Menurut Syed Husin, Anwar dalam lokapnya menulis surat kepada Hassan seperti berikut:
“Ada seperkara lain yang agak mendesak dan menyentuh perasaan saya. Maafkan saya seandainya difikirkan kurang wajar untuk saya turut dalam membahaskan isu penggabungan. Rakan-rakan kita menyampaikan kepada saya kemusykilan yang saudara suarakan berhubung dengan isu tersebut. Izinkan saya meluahkan sikap peribadi saya kepada seorang teman.
“Saya mengusulkan isu penggabungan melalui pelbagai corak dan kemungkinan sejak awal tatkala rakan-rakan merancang penubuhan Keadilan. Beberapa teman rapat termasuk S. Husin Ali arif dengan pendirian saya. alasan terkuat ialah agar tenaga progresif tergabung dalam satu gerakan; dengan dasar demokratik, keadilan dan kerakyatan.
” Imejnya harus liberal dan mampu menarik dukungan rakyat dari pelbagai kaum. Namun dasar yang dianuti tidak terkeluar daripada kerangka Islam, Melayu dan Malaysia. Dari sudut dasar, saya tidak dapat meneka sedikitpun percanggahan antara saya (dan Keadilan) dengan PRM. Sdr teliti sendiri ruang ‘Nenek kebayan’ dalam Berita Keadilan tatkala saya sentuh buku “Meniti Lautan Gelora” oleh Said Zahari.
“Bahkan saya sebut dengan nada jelas sikap gerakan Islam (termasuk saya) yang kurang prihatin dengan penderitaan teman-teman lantaran menaruh sedikit prasangka terhadap aliran kiri atau mungkin juga kerana asakan propaganda pemerintah terlalu kencang dan berkesan. Dalam ucapan Azizah dalam PAK baru-baru ini, saya kaitkan perjuangan PRM sebagai ‘zeitgeist’ – semangat zaman: anti penjajahan, anti penguasaan kapitalis dan mendukung kepentingan rakyat bawahan.
“Saya minta generasi baru memahami bagaimana Ketua UMNO dan wakil Inggeris dalam pentadbiran, Dato Onn Jaafar memberi amaran mengenai ‘bahaya dari bukit dan dari gunung’ ! Permusuhan Inggeris dan UMNO terhadap komunis dan golongan kiri yang dirangkul sekaligus sebagai ‘bahaya dari bukit’ dan golongan Islam, ‘gunung’ Semanggol.
“Kedua, saya kenal dan yakin dengan pimpinan PRM – khususnya sdr SHA. Saya beranggapan ketokohannya perlu ditonjolkan dan dimanfaatkan lagi. Pimpinan seperti sdr sanusi osman, Rustam dll akan lebih berkesan dengan ‘base’ yang lebih besar.
“Saya tidak bermaksud mempertikaikan rakan-rakan dalam Keadilan kerana mereka juga telah membuktikan keupayaan dalam masa singkat. Tetapi alangkah hebat paduan tenaga dalam satu wadah mendukung aspirasi perjuangan rakyat.
“Alasan-alasan lain banyak yang tertera dalam kupasan-kupasan media alternatif. Dalam PAK Keadilan sendiri ada nada keras menyelar PRM dan mengkritik saya. Saya terima dengan hati terbuka kerana kita tidak boleh amalkan budaya feudal. lagipun suara mereka mirip keluhan sentimen pencinta parti yang takut dasar parti diubah dan imej terjejas. Pastinya ada juga puak yang punyai agenda tersendiri. Walau bagaimanapun saya bersyukur kerana mandat jelas disampaikan.
“Saya percaya mungkin terdapat kebimbangan yang sama di kalangan sebahagian perwakilan PRM nanti. Bagaimana dengan sejarah perjuangan gemilang PRM dan apakah sumbangan besar tokoh-tokoh ulung silam seperti Ahmad Boestamam akan tenggelam ? Percayakah sdr, percantuman politik kita tidak sempit dan terbatas. Sejarah Malaysia harus ditulis semula (reconstruct).
“Akhirnya, dalam menentukan wadah dan arah perjuangan selanjutnya, keberanian kita dan kebijaksanaan pendukung diperlukan. Saya telah banyak bergantung kepada pimpinan Keadilan dan BA. Dan dalam mengemukakan usul ini, saya menaruh keyakinan (trust) yang amat tinggi kepada sdr SHA dan rakan-rakan.
“Tidak ada muslihat terselindung selain itu. dan, tidak juga ada hasrat memperkecilkan wadah PRM atau peranannya dalam sejarah dan membangkitkan kesedaran rakyat. Hanya kita berhadapan dengan kenyataan getir: penguasa rakus dan jentera parti dan pemerintah yang kukuh. Kita perlu realistik dan bijaksana.
‘Dipohon pengertian sdr. keputusan sdr tetap dihormati kerana didorong sikap ikhlas. Sekali lagi diharap pandangan saya tidak membebankan atau dianggap mencampuri urusan rumahtangga PRM.”
Sosialis adik komunis
Pada 3 Ogos 2003, PKR telah dilancarkan secara rasmi, di Dewan perhimpunan Cina, Kuala Lumpur, manakala Hassan Karim bersama dengan Koh Siew Yong dengan segelintir aktivis PRM telah menghidupkan semula parti tersebut.
Dalam Pilihanraya Umum ke-11, pada tahun 2004, PKR mencalonkan Syed Husin bertanding di Kota Bharu, Kelantan, namun ditolak oleh Pesuruhanjaya PAS Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat dengan berkata, ‘Sosialis itu adalah adik komunis’.
“Terus terang saya sebut, saya tolak yang berjiwa sosialis, semalam sudah beritahu dengan telefon, pagi ini dengan surat. Ini kerana sejak zaman-berzaman apabila disebut sosialis ia dikaitkan sebagai adik sedikit daripada komunis,” kata Nik Aziz pada 10 Mac 2004.

No comments: