Sunday 2 September 2012

Pas dan Nasha

TIMBALAN Mursyidul Am Pas Dr. Haron Din, adalah antara tokoh ulama yang paling disegani dalam Pas. Beliau bukan jenis yang mengeluarkan kenyataan merapu dan mengelirukan umat Islam.
Haron Din juga jarang bersuara, tidak seperti ramai pemimpin Pas. Tetapi apabila beliau menyatakan pandangan, ramai yang membuka mata. Terbaru, beliau mempertahankan bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa berhubung isu pelaksanaan hudud yang ditolak oleh DAP.
Isu berkaitan Nasharudin tercetus apabila beliau menyifatkan Pengerusi DAP, Karpal Singh sebagai anti Islam kerana menentang hukum hudud. Beliau juga menyatakan sedia disaman Karpal.
Ketegasan Nasharudin seperti diduga, tidak disenangi oleh para pemimpin Pas daripada puak Anwarinas. Sedangkan ramai ahli dan penyokong akar umbi Pas sudah tidak tahan dengan penghinaan DAP terutama dalam isu hudud. Lebih mengecewakan orang-orang Pas apabila pemimpin utama PKR, Anwar Ibrahim yang juga Ketua Pembangkang memihak kepada DAP dan turut menolak hudud Pas.
Awang boleh faham sentimen akar umbi. Mereka merasakan dikhianati dan dipergunakan bukan sahaja oleh DAP bahkan oleh PKR. Selama ini, semua tahu bahawa program dan aktiviti di akar umbi pakatan, banyak digerakkan oleh ahli-ahli Pas - daripada meramaikan kehadiran ceramah pemimpin pakatan sehinggalah menaikkan bendera parti dan menyertai perhimpunan haram Bersih. Tanpa akar umbi Pas, pakatan terutama PKR yang sudah rosak imej angkara skandal seks dan integriti, pasti lumpuh.
Keberanian Haron Din
Maka apabila Nasharudin lantang menyanggah Karpal , ramai ahli dan penyokong Pas lega. Lebih-lebih lagi dengan sokongan beberapa pemimpin bertaraf ulama. Sebab itu, Awang bersyukur dan tabik kepada Haron Din. Keberaniannya meletakkan kepentingan Islam mengatasi percaturan politik, adalah terpuji. Begitu juga kepada pemimpin-pemimpin lain seperti Ketua Dewan Ulama Pas, Harun Taib; Pesuruhjaya Pas Johor, Mahfodz Mohamed; Ketua Dewan Ulama Pas Selangor, Muhamad Zin Abdul Rahman dan Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas Perak, Nor Azmi Musa.
Awang melihat tindakan mereka bangkit bersuara sebagai harapan baru kepada ahli-ahli dan penyokong Pas untuk melihat parti itu tidak terus hanyut mengikut rentak PKR dan DAP. Persoalannya, walaupun suara akar umbi dan ulama memihak kepada Nasharudin, apakah nasib beliau apabila Majlis Syura Ulama membuat keputusan mengenai kedudukannya pada 9 September ini? Awang difahamkan, puak Anwarinas sedang memperhebatkan tekanan ke atas pimpinan Pas terutama Presiden, Hadi Awang dan Mursyidul Am, Nik Aziz Nik Mat agar memecat Nasharudin. Di kalangan orang Pas, sudah diketahui bahawa kelompok Anwarinas paling berkuasa dan bukan lagi golongan ulama.
Sekali lagi isu tersebut akan menjadi ‘pertembungan’ antara Anwarinas yang sentiasa tunduk kepada DAP dan ulama, yang mahu Pas bebas daripada pengaruh luar demi kepentingan Islam. Bagi golongan ulama, Nasharudin tetap relevan malah ramai melihat beliau sebagai pemimpin masa depan yang boleh menjadi sandaran Pas.
Bagi Anwarinas, tidak memadai jika Nasharudin sekadar diberi amaran. Beliau mesti disingkirkan segera kerana menjadi ancaman kepada mereka. Isu Nasharudin dilihat bersama Perdana Menteri, Najib Tun Razak dalam pertemuan dengan sekumpulan ulama di Mekah, dijadikan senjata oleh puak itu. Nasharudin dalam penjelasannya menegaskan bahawa pertemuan itu adalah soal wacana Islam sejagat dan bukan soal politik. Sepatutnya itu ditafsir positif untuk imej Pas di umat Islam.
Kekal bersama Pas
Malah beliau berikrar untuk kekal bersama Pas dan tidak akan menyertai parti lain termasuk UMNO. Komitmennya itu cukup menyakinkan ahli-ahli namun kelompok Anwarinas tidak akan berdiam diri. Nasharudin adalah sasaran seterusnya sebagaimana yang menimpa Dr. Hasan Ali. Awang tidak pasti sejauh mana kelompok ulama dapat mempertahankan Nasharudin kerana dalam Pas, Anwar lebih berpengaruh berbanding Hadi dan Nik Aziz. . Belum pernah dalam sejarah, Pas dicorakkan oleh tokoh luar apatah lagi yang menghadapi isu moral yang dahsyat.
Anwar telah bertindak sebagai ‘imam’ dalam Pas, yang secara tidak langsung membolehkan tangan-tangan DAP menjalar liar. Selagi Anwar menjadi pencatur Pas, selagi itulah DAP tidak gentar dengan Pas - biarpun Islam dihina dan parti diperlekeh berulang kali. Begitulah dayusnya Pas di bawah Hadi dan Nik Aziz. Pada Awang, masyarakat Islam sudah menyampaikan banyak mesej tetapi pemimpin utama Pas terus angkuh dan tidak endah. Kerana mahu mengejar kuasa menawan Putrajaya - yang DAP lebih dominan dalam pakatan - Pas lupa diri dan ketepikan kepentingan Islam.
Kalau begitu, biarlah si luncai terjun dengan labu-labunya. Lagi berkuasa Anwarinas dalam Pas, lagilah meluat akar umbi. Lagi hilang pengaruh golongan ulama, lagi berisiko Pas ditolak ahli. Lagi hanyut Pas, lagi mudah masyarakat Islam membuat perhitungan pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13). Tunggulah...

No comments: